Monday, September 16, 2013

Wangian & Wanita ^_^




Minyak Wangi.. ^_^ Aksesori wajib suntik keyakinan, elak bau badan

WANITA moden dan wangian bagaikan 'rakan akrab'. Ke mana saja, baik ke pejabat, majlis rasmi, berparti, acara kasual mahupun hanya keluar minum seketika bersama rakan, hampir setiap wanita pasti tidak akan lupa untuk menyembur wangian di badan. 

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan hampir tujuh daripada 10 wanita akan membawa sekurang-kurangnya sebotol wangian kecil atau bersaiz sederhana di dalam beg tangan. Ini bagi memudahkan wanita masa kini menggapai botol wangian di kala perlu, lebih-lebih lagi pabila keluar berdua bersama kekasih.

Hakikatnya, rata-rata wanita mempunyai pendapat tersendiri mengapa wangian sangat diperlukan dalam aktiviti harian. Selain bagi mengelakkan bau badan yang tidak disenangi, wangian juga mampu menambah keyakinan diri, menyerlahkan penampilan serta kecantikan semula jadi yang saling berkait. 

Maklumat daripada beberapa laman web menyebut wangian atau dipanggil ‘perfume’ diketahui wujud di beberapa tamadun manusia paling awal melalui teks kuno atau penggalian arkeologi. Wangian moden bermula pada akhir abad ke-19 dan seni membuat wangian mula pada zaman kuno Mesopotamia dan Mesir kemudian disempurnakan di Rom dan juga Parsi. 

Pada 2005, ahli arkeologi menemui wangian tertua di dunia di Pyrgos, Cyprus yang berusia lebih daripada 4,000 tahun. Ia ditemui dalam sebuah wangian kuno. Orang kuno ketika itu menggunakan herba dan rempah seperti kacang almond, ketumbar, murad, resin, bergamot dan bunga bagi menghasilkan wangian. 

Lantaran itu, memahami keperluan wanita masa kini yang memiliki kerjaya hebat, banyak wangian di perkenalkan di pasaran oleh jenama antarabangsa mahupun tempatan. Tidak cukup dengan jenama wangian yang ada, beberapa selebriti seperti penyanyi dan pelakon dari Hollywood juga tidak terlepas menghasilkan wangian kegemaran dan dikomersialkan menerusi jenama masing-masing.

Penyanyi Paris Hilton juga tampil dengan wangian baru dikenali sebagai Tease, baru-baru ini. Wangian terbaru itu adalah inspirasi beliau yang hidup dalam dunia glamor, bersesuaian dengan penampilannya yang bergaya retro kontemporari tetapi masih mengekalkan ciri wanita anggun. 

Karektor Paris Hilton diterjemahkan imaginasinya menerusi Tease yang dikatakan menyerlahkan keseksian ketika berdepan dengan kamera, keseronokan dan kesegaran sepanjang masa. 

Botol kaca berwarna ungu kembali membayangi dari gelap ke terang. Gaya sofistikated, segar dan rasa lebih muda dengan bentuk botol bulat yang sesuai dengan jiwa wanita. Wangian lembut semerbak itu dihasilkan daripada pati bunga kelopak bunga melati, bunga kemboja, melati sebagai wangian utama dan digabung bersama pati buah seperti epal Fuji, buah peach nectar dan bergamot sementara golden amber, blonde Woods dan warm sand accord sebagai wangian asas sensasi.

Selain Paris Hilton yang terkenal dengan gaya anak muda ranggi, penyanyi terkenal, Mariah Carey memperkenalkan koleksi wangian terbarunya, Lollipop Bling. Bekerjasama dengan jenama produk kecantikan, Elizabeth Arden, wangian berkenaan adalah trio inovatif berinspirasikan kepada manisan. 

Carey berkata, ia adalah inspirasi selepas suaminya Nick melamarnya dengan memberi kejutan sebentuk cincin gula-gula. Ia sangat romantik, menyeronokkan dan berjiwa muda. 

Menerusi personaliti yang ramah dan bersahaja, ia antara inspirasi penghasilan wangian itu untuk gaya feminin. Kombinasi rasberi coklat dengan sentuhan magnolia mencipta wangian memukau. Beri biru dan sentuhan madu dan nanas mencipta wangian ceria dan hangat.

Botolnya didatangi dengan tiga warna berbeza iaitu merah bak permata, kuning dan juga warna pelangi dengan penutup rekaan rama-rama sebagai lambang identiti Mariah Carey. 

Jenama Stella Nude pula memperkenalkan wangian Stella McCartney bagi membangkitkan gaya feminin yang mengingatkan kepada wangian bunga mawar. Konsep baru dan klasik meningkatkan kesan duniawi yang lebih terbuka dengan sensual aroma Maghribi apabila digabung bersama sedikit bauan limau bali. Wangian itu ketara aroma feminin apabila diselitkan dengan rasa pedas lada merah muda.

Rekaan botol wangian Stella McCartney menunjukkan karektor wanita yang kontra dan lebih feminin serta gaya mainan maskulin. Pemilihan warna menggambarkan warna alam semesta dan mencerminkan perancangan halus. 

Wangian membangkitkan aura harum semerbak. Semburan pada bahagian leher, lengan dan belakang lutut memberi kesan tahan lebih lama. Menggunakan wangian sama dan serasi mencerminkan personaliti seseorang. Oleh itu, wangian penting ke mana saja kita berada.

Sumber: Oleh Hidayah Mohammad hidayah@bharian.com.my 2010/10/27


No comments: