Monday, November 4, 2013

 SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1435H ^_^,

.. Sambutan Maal Hijrah tahun ini adalah pada 5 November 2013.. bertemakan "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah".. 

 Mudah-mudahan kita sama-sama dapat menghayati erti sebenar perhijrahan sempena sambutan Maal Hijrah ini.. ^_^, sebagai contoh daripada nilai negatif ke arah lebih positif.. :)

Di sini.. wani nk share info sempena Sambutan Maal Hijrah esok.. 
 (Sumber: BeritaHarian-4/11/13)

Sempena Sambutan Maal Hijrah 1435H esok: Masa hayati roh hijrah bina kegemilangan Islam

Umat Islam berada di ambang meraikan sambutan bersejarah iaitu mengenang peristiwa penghijrahan Baginda SAW ke Madinah bagi menyusun gerakkan dakwah secara besar-besaran dan lebih sistematik.
Tarikh itu menjadi permulaan dalam kalendar Islam kerana ia adalah titik tolak kepada era pergerakan dakwah Islamiah yang dibawa Rasulullah SAW ke seluruh pelosok dunia. Hasilnya, hingga kini Islam menjadi antara agama terbesar dan dapat diterima oleh masyarakat dunia.

Janganlah kamu bersifat lemah dan bersedih hati pada hal kamulah orang yang paling tinggi jika kamu beriman” Surah Ali-Imran, ayat 139

Peristiwa hijrah menyingkap satu perjuangan yang penuh dengan kekuatan tanpa putus asa atau menyerah kalah di samping menjadi garisan pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

Kebenaran memerlukan keyakinan terhadap agama Allah SWT. Ia juga diibaratkan satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah SAW iaitu di Makkah 13 tahun dan Madinah 10 tahun.

Dua tahap ini sudah cukup untuk mengajar bahawa setiap kejayaan akan didahului dengan ujian hebat serta daya saing yang mantap bagi merealisasikan kehendak agama. Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan sangat bermakna.

Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat yang berhijrah menyahut panggilan keimanan.
Hijrah pada zaman Rasulullah bukan mudah

Hijrah pada zaman Rasulullah SAW bukanlah semudah yang disangka. Ia berlaku akibat ancaman daripada kaum Musyrikin yang menentang dakwah Baginda SAW dan mengancam nyawa orang yang mengikut ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Peristiwa hijrah juga memberi gambaran kepada umat Islam bahawa bumi Allah SWT sangat luas untuk mereka hidup dengan baik dan mengecapi apa yang telah disediakan Allah SWT bagi mereka yang beriman.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ingatlah) orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang yang bersabarlah saja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah az-Zumar, ayat 10)

Perjalanan penuh dengan cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman kaum kafir Quraisy, tetapi ia juga strategi Nabi Muhammad SAW untuk melahirkan keberkesanan dalam dakwah Baginda SAW selain menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam.

Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan di mana Baginda SAW sanggup meninggalkan tanah air sendiri semata-mata untuk penyebaran dakwah Islamiah.

Jelaslah, hikmah dan kebijaksanaan adalah keperluan utama dalam dakwah. Tanpanya kita akan melihat kegagalan pendakwah melaksanakan pendekatan dakwah kepada masyarakat. Benarlah kata-kata ulama, “hikmah dan kebijaksanaan mestilah direbut walaupun daripada golongan musuh”.

Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau - mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah al-Anfaal, ayat 30)

Namun, kelemahan umat Islam menyesuaikan diri dalam masyarakat telah membantutkan perkembangan Islam. Akibatnya, Islam dilihat sebagai agama yang kolot dan ketinggalan zaman.

Inilah masanya umat Islam menghayati roh hijrah untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam yang sudah lama hilang.

Mereka mestilah memahatkan suatu kebanggaan dalam jiwa masing-masing bahawa Islam agama paling hebat. Sifat segan silu hendaklah dikikis daripada dada umat Islam bagi menzahirkan keindahan dan keagungan Islam.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan yang mana Baginda SAW berjaya menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu saling bermusuhan iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah SWT, dua kumpulan itu akhirnya dapat disatukan.

Hubungan yang dijalinkan Baginda SAW antara penduduk pribumi (Ansar) dan pendatang (Muhajirin) menggambarkan Islam adalah agama yang mengutamakan kasih sayang dan jauh daripada keganasan.

Sikap inilah yang perlu disemai dalam kalangan orang Islam sebagai penghayatan kepada peristiwa hijrah Baginda SAW. Bukan saja sesama Islam, malah dengan penganut agama lain. Baginda SAW juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai serta harmoni.

Justeru, Islam daripada awal lagi menganjurkan umatnya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain memakmurkan bumi ini kerana bumi Allah SWT adalah milik semua makhluk yang diciptakan, bukan kepunyaan istimewa satu kaum atau bangsa tertentu.

Utamakan pembinaan jiwa

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan kebijaksanaan Baginda SAW yang mengutamakan pembinaan jiwa dengan terbinanya masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Quba’ serta memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam.

Seterusnya Baginda SAW mendirikan masjid kedua iaitu Masjid Nabawi. Kita juga melihat tindakan Rasulullah SAW selepas hijrah dalam membangunkan negara Madinah ialah membina pasar. Kedua tindakan Baginda SAW simbolik kepada pembangunan insan dan ekonomi untuk membina negara.

Tinggalkan segala perkara rugikan umat

Penghayatan sebenar kepada peristiwa hijrah adalah meninggalkan segala perkara yang merugikan agama dan umat serta melakukan ketaatan maksimum kepada Allah SWT. Jika perkara itu tidak dapat dilaksanakan, maka peristiwa hijrah yang disambut setiap tahun adalah sia-sia.

Iktibar daripada sejarah mesti dipelajari dan dilaksanakan supaya sambutan memberi makna. Baginda Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya hijrah telah berlalu, tetapi ikrar setia yang masih boleh dilakukan ialah terhadap Islam, jihad dan melakukan kebaikan.” (Riwayat Muslim)

Mereka yang belum mendapat penghayatan sebenar kepada peristiwa hijrah, dianjurkan berdoa supaya diberi petunjuk dari masa ke semasa untuk berubah ke arah yang lebih baik. Berpindah dari keadaan jahil kepada takwa itu adalah sesuatu yang sesuai dengan kehendak hidayah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125)